Jumat, 05 Maret 2010

AGAMA BARU ITU BERNAMA PLURALISME! 1

Nampaknya sehingga ke hari ini isu penggunaan kalimah Allah masih belum reda. Bezanya, perkembangan mutakhir ini menyaksikan wujudnya ketegangan bukan di antara penganut Islam dan Kristian, tetapi di kalangan sesama Islam sendiri. Sesetengah pihak begitu ekstrem berpegang kepada pendapat masing-masing sehingga ikatan ukhuwah Islam terus terbakar dan semakin hangus kerananya. Sejak awal tercetusnya isu ini, Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad antara yang dikecam hebat kerana pendiriannya, sehingga lebih 20 laporan polis dibuat terhadapnya dan terbaru, Zulkifli Nordin membuat laporan polis terhadap Khalid yang menyebabkan timbul ketegangan di dalam PKR sehingga ada desakan agar Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu dibuang dari parti. Sungguh malang melihat perkembangan ini di mana isu kalimah Allah kini telah bertukar menjadi satu ‘tragedi’ sesama Muslim. Di sisi yang lain, pelbagai political milage yang cuba diraih oleh parti politik dan golongan politikus bagi menjatuhkan lawan masing-masing menggunakan isu ini.

Tidak kurang pentingnya dari semua hal di atas, satu lagi ‘agenda’ lain yang timbul ekoran dari isu kalimah Allah ini adalah munculnya usaha-usaha dialog antara agama atau aktiviti lain yang cuba merapatkan ‘ukhuwah’ di antara penganut pelbagai agama di Malaysia. Di Kelantan, Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganjurkan majlis Jamuan Muhibah Antara Agama dengan menjemput seramai 200 orang ketua-ketua agama seluruh negara yang mewakili lima agama utama negara yang diadakan pada 28 Januari (semalam). Seramai 16 orang daripadanya adalah ketua-ketua paderi Kristian dari seluruh negara yang sedang bersidang di Kota Bharu. “Majlis makan ini adalah lambang kita meraikan tetamu bagi orang Islam”, kata Nik Aziz [harakahdaily.net].

Menariknya, terdapat satu perkembangan yang hampir sama berlaku di negara jiran, Indonesia, walaupun peristiwa yang menjadi momentumnya adalah berbeza. Bersamaan dengan meninggalnya mantan Presiden Republik Indonesia yang ke-4, Abdul Rahman Wahid atau lebih dikenali dengan Gus Dur, isu ‘toleransi’ di antara agama kembali menjadi perbincangan hangat. Isu ini yang lebih tepatnya dikenali sebagai ‘pluralisme’ menjadi berita utama selama beberapa hari hampir di kesemua media cetak, baik ia dikaitkan secara langsung dengan peribadi Gus Dur atau pun tidak. Isu pluralisme kembali mencuat terutama setelah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menjuluki Gus Dur sebagai “Bapak Pluralisme” yang patut menjadi teladan bagi seluruh bangsa [antara.co.id 31/12/09]. Mantan Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat, Amien Rais pun menilai Gus Dur sebagai ikon pluralisme [kompas.com 02/01/10]. Kalangan liberal juga tidak ketinggalan. Salah seorang aktivisnya, Zuhairi Misrawi, menulis bahawa dalam rangka memberikan penghormatan terhadap Gus Dur sebagaimana dilakukan oleh Presiden Yudhoyono, akan sangat baik jika Majlis Ulama Indonesia (MUI) mencabut kembali fatwa pengharaman terhadap pluralisme [kompas.com, 04/01/10]. MUI dalam fatwanya No.7/MUNAS VII/MUI/11/2005 telah menyatakan dengan jelas bahawa pluralisme (selain sekularisme dan liberalisme) adalah fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam, dan umat Islam haram mengikuti fahaman tersebut. Sautun Nahdhah kali ini akan menjelaskan serba ringkas dalam ruang yang terbatas ini akan hakikat pluralisme dan pandangan Islam mengenainya.

Hakikat Dan Bahaya Pluralisme

Sebelum pergi lebih jauh, kita harus membezakan terlebih dahulu antara ‘pluraliti’ dan ‘pluralisme’. Pluraliti (keragaman) adalah satu keadaan di mana di tengah masyarakat terdapat pelbagai ragam ras, suku, bangsa, bahasa dan agama. Ini adalah sebuah kenyataan yang wujud di dunia sebagai hasil dari proses-proses sosiologi, biologi dan juga historis yang berjalan di muka bumi. Secara biologi, Allah SWT memang menciptakan manusia bersuku-suku, berbangsa-bangsa dengan warna kulit, serta bahasa yang berbeza-beza. Sedangkan secara sosiologi, manusia yang beragam ini memilih untuk memiliki keyakinan atau agama yang berbeza-beza pula. Berbeza dengan pluraliti, pluralisme adalah satu fahaman yang menempatkan keragaman sebagai nilai yang tinggi dalam masyarakat. Pluralisme agama adalah sebuah fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama. Ia adalah satu bentuk toleransi agama di mana agama apa pun dalam pandangan fahaman ini hanyalah merupakan jalan yang berbeza untuk menuju titik kebenaran yang sama (different ways to the same truth). Kerana itu, tidak boleh ada ‘dakwaan kebenaran’ (claim of truth) dari agama mana pun bahawa agama merekalah yang paling benar, dan juga tidak boleh ada dakwaan bahawa keselamatan sebenar (true salvation) dari seksa neraka hanya diperoleh apabila memeluk agama tertentu sahaja. Menurut fahaman ini, kerana agama yang ada hanyalah jalan yang berbeza menuju titik kebenaran yang sama, maka semua agama pasti akan menghantarkan pemeluknya menuju syurga.

Kemunculan idea pluralisme didasarkan pada keinginan untuk melenyapkan keyakinan claim of truth yang dianggap menjadi penyebab munculnya sikap ekstrem, radikal, konflik antara agama serta penindasan dan perang atas nama agama. Kerana itu, mereka berpendapat bahawa diperlukan gagasan pluralisme sehingga agama tidak lagi bersifat eksklusif dan berpotensi memicu konflik. Menurut kaum pluralis, konflik dan kekerasan atas nama agama hanya akan hilang jika setiap agama tidak lagi menganggap agamanya adalah yang paling benar. Inilah hakikat idea pluralisme agama yang dipropagandakan di seluruh dunia Islam melalui pelbagai bentuk dan cara. Kuffar Barat mahukan agar umat Islam mempunyai iktikad (keyakinan) ini, yakni umat Islam mesti yakin (beriktikad) bahawa agama lain juga membawa kebenaran dan jangan sekali-kali beriktikad bahawa Islamlah satu-satunya agama yang benar. Secara sedar atau tidak, segelintir umat Islam telah condong ke arah ini dengan berusaha mencari titik temu di antara agama-agama yang ada, kerana kesemua agama dianggap benar dalam rangka untuk bertoleransi di antara satu sama lain.

Dari idea pluralisme inilah, maka lahir pelbagai gagasan lainnya sebagai usaha ke arah mewujudkan toleransi beragama seperti dialog antara agama, doa bersama, perayaan bersama dan sebagainya. Dalam politik, idea pluralisme ini senantiasa didukung oleh polisi pemerintah yang diterjemahkan sebagai amalan demokrasi dan hak asasi manusia. Inilah sekilas fakta yang menjadi faktor yang memunculkan gagasan pluralisme agama ini. Namun selanjutnya, faktor dominan yang memicu maraknya isu pluralisme agama adalah niat dan usaha kuffar Barat untuk mengukuhkan dominasi Kapitalisme mereka, khususnya ke atas dunia Islam. Selain isu-isu demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan serta perdamaian dunia, pluralisme agama adalah sebuah gagasan yang terus disuarakan Kapitalisme global yang digalang Amerika Syarikat untuk memecah belah kefahaman sekaligus melemahkan akidah umat Islam, dengan pengakuan bahawa semua agama adalah sama dan sama-sama benar!

Kita semua tahu bahawa hujah atau ciri penting sesebuah agama adalah ‘dakwaan kebenaran’ terhadapnya. Inilah juga hujah atau ciri penting yang cuba dibawa oleh gagasan pluralisme yang mana semua orang cuba dimasukkan iktikad agar meyakini bahawa ‘semua agama adalah sama’. Apabila seseorang itu telah meyakininya, maka ini bermakna, dalam diri seseorang itu telah muncul satu lagi akidah baru yakni akidah pluralisme (= meyakini bahawa semua agama adalah sama). Justeru, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa akidah baru ini telah menjadikan pluralisme sebagai satu ‘agama baru’ kepada manusia sehingga manusia bersungguh-sungguh cuba memperjuangkannya, sesuai dengan ‘sifat’ sebuah agama yakni mesti diperjuangkan akan ‘kebenarannya’. Inilah bahayanya idea pluralisme pada umat Islam yang jelas-jelas boleh menggelincirkan akidah umat Islam, tanpa mereka sedari! Kuffar Barat sangat memahami bahawa akidah Islam adalah rahsia kekuatan umat Islam di mana jika ia tidak dilemahkan, maka umat Islam akan bisa bangkit dan mengancam hegemoni Barat. Maka, demi memastikan kebangkitan umat Islam tidak berlaku, akidah seseorang Muslim harus digoncang dan jika boleh, dimusnahkan terus. Inilah tujuan sebenarnya dari wacana pluralisme agama, tidak ada yang lain.

Tidak ada komentar:

mari bersama mengembalikan kehidupan Islam.