Jumat, 05 Maret 2010

AGAMA BARU ITU BERNAMA PLURALISME! 2

Kebatilan Pluralisme

Umat Islam seharusnya mengkaji bahawa asal-usul fahaman pluralisme ini bukanlah dari Islam, tetapi dari orang-orang kafir Barat yang mengalami trauma hasil konflik dan perang antara puak Katolik dan Protestan serta kumpulan Ortodoks. Antaranya adalah kesan dari peristiwa tahun 1527 di Paris yang disebut dengan The St Bartholomeus Day’s Massacre di mana pada satu malam di tahun tersebut, seramai lebih 10,000 orang Protestan dibantai habis-habisan oleh puak Katolik. Peristiwa yang mengerikan inilah yang telah mengilhamkan ‘semakan semula’ ke atas teologi Katholik pada Vatican Conciliation II (1962-1965). Keyakinan bahawa ‘extra ecclesiam nulla salus’ (no salvation outside the church - tidak ada keselamatan di luar gereja) telah diubah menjadi kebenaran dan keselamatan terdapat juga di luar gereja (di luar agama Katolik/Protestan). Dari sinilah munculnya fahaman bahawa kebenaran itu turut ada pada agama lain, yang nyatanya lahir dari peristiwa sosio-historik kaum Kristian di Eropah dan AS.

Kelihatan amat jelas di sini bahawa wujudnya pendirian tidak tetap Gereja. Andai kata hasil Vatican Conciliation II diamalkan secara konsisten, tentunya gereja harus menganggap agama Islam juga adalah benar, tidak hanya agama Kristian sahaja. Tetapi fakta tidak menunjukkan demikian. Buktinya, kaum Kristian dari dulu hingga kini terus sahaja melakukan usaha-usaha kristianisasi yang menurut mereka adalah untuk menyelamatkan domba-domba (baca: umat Islam) yang sesat yang belum pernah mendengar khabar gembira dari Tuhan Jesus. Jika benar golongan Kristian ini menganggap bahawa agama Islam juga adalah benar, kenapakah mereka terus melakukan usaha pengkristianan ke atas umat Islam? Jika benar mereka mengakui kesamaan agama, kenapakah mereka memperuntukkan dana yang tidak terbatas untuk mengkristiankan umat Islam? Ini jelas menunjukkan bahawa puak Kristian tidak pernah menganggap bahawa agama Islam adalah benar. Inilah pembohongan idea pluralisme yang mereka perjuangkan.

Secara realitinya, berapa banyak kes yang kita dengar dan kita tahu sendiri bahawa seorang Kristian yang telah bertukar agama kepada Islam, ahli keluarga mereka (yang Kristian) memarahi, memusuhi, malah menghalau mereka dari rumah!? Begitu juga dengan agama-agama lain seperti Hindu dan Buddha contohnya, apabila ada di kalangan ahli keluarga mereka yang memeluk Islam, maka terdapat begitu banyak kes di mana ahli keluarga mereka yang memeluk Islam itu dipulaukan, malah ada yang dipukul dan dihalau dari rumah. Jika benar mereka mengamalkan toleransi agama dan percaya kepada kesamaan di antara agama, mengapa mereka harus memusuhi ahli keluarga mereka yang memeluk Islam? Sedarlah wahai umat Islam! Bahawa agenda pluralisme ini adalah tidak lebih dari usaha pembohongan dan penyesatan kuffar yang begitu nyata ke atas kita semua.

Kemajmukan Bangsa Manusia (Pluraliti) vs Kemajmukan Agama (Pluralisme)

Kita perlu jelas bahawa kemajmukan bangsa atau keturunan manusia ciptaan Allah (pluraliti) merupakan perkara yang berada di luar kuasa kita. Allah menciptakan manusia berlainan bangsa untuk kita saling kenal mengenal antara satu sama lain, bukan untuk melebih-lebihkan suatu bangsa atau kaum. Ini berbeza dengan pluralisme yang memikul idea bahawa semua agama, dalam kemajmukannya, adalah sama. Setelah datangnya Islam, agama yang sah di sisi Allah adalah Islam. Malangnya, umat Islam yang terpesona dan terperangkap dengan idea pluralisme agama ini, berusaha keras mencari dalil-dalil di dalam Al-Quran agar ‘agama baru’ ini diterima oleh kaum Muslimin. Sering kita melihat golongan ini menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang menyebut tentang kepelbagaian kaum atau bangsa untuk menyokong hujah mereka, sedangkan ayat ini tidak ada kaitan langsung dengan pengiktirafan Islam terhadap agama lain. Islam tidak pernah mengiktiraf kebenaran agama lain, namun begitu, penganut Islam dilarang memaksa penganut agama lain untuk memeluk Islam atau melakukan provokasi terhadap mereka. Umat Islam hendaklah menyeru mereka kepada Islam secara pemikiran dengan cara yang terbaik.

Antara dalil yang sering mereka ketengahkan untuk membenarkan idea sesat ini ialah firman Allah,

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dari laki-laki dan perempuan, dan Kami menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kalian saling mengenal...” [TMQ al-Hujurat (49):13].

Menurut kaum pluralis, ayat ini menunjukkan adanya pengakuan Islam terhadap gagasan pluralisme. Walhal sesungguhnya, ayat ini sama sekali tidak ada kaitannya dengan idea pluralisme agama yang diajarkan oleh kaum pluralis. Ayat ini hanya menjelaskan kemajmukan (pluraliti) suku dan bangsa manusia yang Allah ciptakan dan ia sama sekali tidak menunjukkan bahawa Islam mengakui claim of truth dari agama-agama atau isme-isme selain Islam. Ayat ini langsung tidak menjelaskan apatah lagi membenarkan persamaan antara agama. Ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah yang mengakui hanya Islamlah satu-satunya agama yang benar,

“Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam” [TMQ Ali Imran (3):19].

Memang benar bahawa kewujudan agama-agama selain Islam diakui oleh Islam, tetapi bukan bererti ianya benar. Maksudnya, orang-orang kafir dibiarkan bebas menganut agama mereka tetapi tidak sekali-kali bermakna bahawa agama yang mereka anuti adalah benar. Islam mengakui ‘kewujudan’ agama-agama lain namun bukan mengakui ‘kesahihan’ agama-agama tersebut. Semua agama selain Islam adalah tidak benar dan tidak diterima oleh Allah,

“Barang siapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang merugi” [TMQ Ali Imran (3):85].

Satu soalan yang kita perlu tujukan kepada umat Islam yang memperjuangkan pluralisme adalah, jika benar mereka meyakini bahawa semua agama adalah sama, apakah mereka sanggup untuk menukar agama Islam yang mereka anuti itu dan masuk agama Hindu atau Buddha atau Kristian atau Yahudi? Jika semua agama adalah sama dan sama-sama benar, maka secara logiknya tentulah tidak menjadi masalah untuk mereka bertukar kepada agama apa sekalipun, namun persoalannya, sanggupkah mereka berbuat demikian? Na’uzubillah min zalik. Sesungguhnya kita sekali-kali tidak akan menukar agama Islam yang kita anuti ini kepada agama-agama lain kerana agama Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan kesemua agama lain adalah sesat, sesesat-sesatnya.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Apa yang wajib untuk kita lakukan bukanlah mengadakan dialog atau meraikan orang-orang kafir untuk mencari atau menjunjung persamaan agama, tetapi mengadakan perdebatan intelektual dengan mereka dalam rangka menyatakan kebenaran agama Islam dan kebatilan agama mereka. Apa yang wajib kita lakukan adalah terus-menerus menyeru para pemeluk agama lain untuk memeluk Islam sebagai satu-satunya agama yang benar yang akan menyelamatkan mereka dari azab Allah. Sungguh, tidak ada persamaan langsung di antara agama kita dengan agama mereka. Agama kita adalah benar dan agama mereka adalah salah. Tidak ada pluralisme!!! Adalah satu keharaman memperjuangkan idea kesamaan agama dan sesungguhnya murtadlah mereka yang meyakini bahawa semua agama adalah benar! Demi sesungguhnya satu-satunya agama yang benar di sisi Allah adalah Islam dan hanya Islam sahajalah yang akan membawa seseorang itu ke syurga dan sesungguhnya tidak ada dan tidak akan pernah ada titik temu di antara Islam dengan agama-agama lain. Yang ada hanyalah titik temu di antara agama-agama lain sesama mereka sahaja – titik temu mereka adalah dalam kesesatan dan dalam neraka! Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya orang-orang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk” [TMQ al-Baiyyinah (98):6].

Na’uzubillah min zalik.

Tidak ada komentar:

mari bersama mengembalikan kehidupan Islam.